Kumpulan hak asasi manusia, Action Against Hunger (AAH) mendedahkan golongan ibu di Yemen terpaksa membiarkan anak-anak mereka kebuluran susulan krisis kekura­ngan bekalan makanan di negara berkenaan.

Menurut pertubuhan ter­sebut, ramai penduduk ber­depan kesukaran untuk me­neruskan kehidupan di negara terbabit.

“Kita sedia maklum situasi ketika ini adalah satu bencana. Sekiranya sebuah keluarga tidak mempunyai bekalan secukupnya untuk diberikan kepada seluruh ahli keluarga, maknanya mereka perlu memilih siapa perlu diutamakan.

“Kadangkala sampai satu tahap di mana ibu terpaksa tidak memberikan makanan kepada ahli keluarga tertentu, kebanyakannya mereka yang paling muda dalam keluarga,” kata Pengarah AAH di Yemen, Valentina Ferrante.

Jelas Ferrante, cabaran terbesar dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan bukanlah wang tetapi mendapatkan akses selamat ke kawasan konflik yang sering dilanda serangan udara.

“Kita perlu menyampaikan mesej bahawa kami tidak menyebelahi mana-mana pihak, jadi kami tidak terlibat dalam politik. Kami hanya mahu menyampaikan bantuan kemanusiaan,” tegasnya.

Yemen, salah sebuah negara Arab termiskin, terperangkap dalam konflik peperangan antara kumpulan pemberontak Houthi dan tentera pakatan diketuai oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu serta negara Barat.

Konflik dan kejatuhan eko­nomi menyebabkan hampir 16 juta orang atau kira-kira 53 peratus populasi penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan serta kebuluran sekiranya tiada tindakan segera diambil.

Pihak yang terlibat dalam peperangan semalam bersetuju mengadakan gencatan senjata di bandar pelabuhan Hodeidah, yang merupakan pintu masuk utama bagi barangan import komersial serta bekalan bantuan. – REUTERS