Srikandi Palestin, Ahed Tamimi yang ditahan rejim Zionis dan menerima kecaman antarabangsa telah menerima penghormatan kelab bola sepak Sepanyol, Real Madrid.

Remaja berusia 17 tahun itu bersama bapanya, Basim Tamimi dijemput ke Stadium Santiago Bernabeu di Madrid di mana dia bertemu bekas penyerang Emilio Butragueno yang kemudiannya menyerahkan jersi bola sepak secara peribadi kepadanya.

Aktivis yang dikenali atas keberaniannya kerana menampar dan memukul tentera Israel di luar rumahnya di perkampungan Nabi Saleh di Tebing Barat kini berada di Eropah untuk siri jelajah politik.

Ahed dibebaskan dari penjara pada akhir Julai lalu selepas menjalani hukuman penjara lapan bulan.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahson bagaimanapun menyelar keputusan Real Madrid itu menerusi Twitter dan menyifatkan ia sebagai memalukan. – al- Jazeera