Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah membuat laporan polis terhadap 62 calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan PRU-14 masing-masing.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 menetapkan bahawa calon-calon bertanding atau ejen pilihan raya mereka hendaklah menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan PRU-14 yang diwartakan pada 28 Mei 2018.

Namun katanya, sehingga tarikh akhir penyerahan penyata perbelanjaan PRU-14 pada 28 Jun 2018 lalu, seramai 62 calon PRU-14 gagal menyerahkan penyata mereka.

“Jumlah ini meliputi 14 calon bagi bahagian pilihan raya Parlimen dan 48 calon bagi bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sehubungan itu, SPR telah membuat laporan polis terhadap calon-calon yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan mereka bagi tindakan lanjut mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya, selaras dengan Seksyen 23, AKPR 1954, kegagalan menyerahkan penyata perbelanjaan menyebabkan tiga implikasi kepada calon iaitu tidak boleh menghadiri sidang atau mengundi dalam Dewan Rakyat atau DUN, tidak boleh menyertai mana-mana pilihan raya selama tempoh lima tahun dan boleh didakwa dan diambil tindakan atas perbuatan yang menyalahi undang-undang.

SPR menerima sebanyak 687 pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 1,646 pencalonan bagi kerusi DUN pada PRU14. – Utusan Online