Siswi dipenjara sehari, denda kerana curi aksesori wanita

Umpama otak pandir, seorang penuntut sarjana di sebuah universiti swasta dipenjara sehari dan didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini ekoran tindakan bodohnya mencuri pelbagai jenis aksesori wanita di sebuah kompleks beli-belah, awal bulan ini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Fatin Noor Aiza Azaha, 25, selepas dia mengaku salah mencuri 10 bentuk subang, seutas rantai leher dan dua gelang tangan di kedai Lovisa, di Pavilion di Kuala Lumpur 4.25 petang 8 Feb lalu.

Dia yang berbaju kurung moden didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana dia masih lagi belajar. Namun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman berbentuk penjara agar tertuduh insaf. -Bernama