Singapura tetap komited untuk menyelesaikan beberapa isu dua hala dengan Malaysia secara baik dan konstruktif, menurut Menteri Hal Ehwal Luar republik itu, Dr. Vivian Balakrishnan.

Isu-isu ini juga akan diselesaikan berdasarkan pematuhan ketat kepada perjanjian dua hala dan undang-undang antarabangsa, kata beliau ketika berucap pada perbahasan Jawatankuasa Bekalan di Parlimen di sini hari ini.

Kedua-dua negara ketika ini sedang berusaha untuk menyelesaikan beberapa isu dua hala merangkumi maritim dan ruang udara.

Mengenai isu-isu maritim merangkumi had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, Balakrishnan berkata, para pegawai telah bermesyuarat untuk membincangkan langkah-langkah bagi meredakan keadaan.

“Dan kedua-dua belah pihak menyedari tentang perlunya untuk segera mengelakkan kemalangan dan insiden yang tidak diingini …,” kata beliau.

Semasa mesyuarat dua hala pada 8 Januari lepas, Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Singapura dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia.

“Kumpulan kerja terdiri daripada para pegawai kanan dijangka mengemukakan cadangan kepada Menteri Luar dari kedua-dua negara pada awal Mac iaitu sekarang,” kata Balakrishnan.

Kumpulan kerja itu ditugaskan untuk mengkaji dan membincangkan hal-hal perundangan dan operasi untuk meredakan keadaan, dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.

Menurut Balakrishnan, Menteri Pengangkutan dan pegawai kanan dari kedua-dua pihak telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tatacara untuk Lapangan Terbang Seletar dan ruang udara meliputi selatan Johor, termasuk sistem instrumen ke Lapangan Terbang Seletar, dan Kawasan Larangan Kekal meliputi Pasir Gudang yang diisytiharkan oleh Malaysia.

“Dan sekali lagi kita menaruh harapan untuk mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama ..,” kata Balakrishnan yang juga pemangku Menteri Pengangkutan Singapura.

Pada 8 Januari lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju bagi kedua-dua pihak mmenggantung secara serentak pelaksanaan Kawasan Larangan Kekal yang diisytiharkan oleh Malaysia meliputi Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura di Lapangan Terbang Seletar.

Tempoh penggantungan bersama itu kemudian dilanjutkan sehingga akhir Mac daripada asalnya satu bulan. – Bernama