Malaysia telah mengambil langkah mengendurkan ketegangan tercetus daripada pertikaian maritim yang sedang berlaku dengan Singapura, dan telah mengundurkan beberapa buah kapalnya dari perairan wilayah Republik ini.

Namun, sebuah kapal masih berada di perairan Singapura setakat 12 Disember, menurut The Straits Times.

Menyebut Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan yang mendesak Malaysia mengundurkan semua kapalnya, laporan itu berkata kehadiran kapal itu menimbulkan “risiko yang tidak wajar” dan boleh membawa kepada “peningkatan aksidental di darat”.

Risiko ini juga “tidak kondusif kepada rundingan bilateral yang bakal diadakan bulan depan,” Khaw disebut sebagai berkata.

Setakat tengah hari Jumaat lepas, terdapat tiga kapal Malaysia berada di perairan Singapura, kata laporan itu.

Mengenai sama ada rundingan itu, yang kedua-dua negara telah bersetuju diadakan pada minggu kedua Januari – memakai syarat agar kapal-kapal Malaysia berundur sepenuhnya dari perairan yang dipertikaikan, Khaw dilaporkan berkata: “Kami komited untuk berunding dan kami akan berunding, itu memang sikap kami.”

“Penyelesaian sentiasa merupakan cara terbaik untuk terus maju,” tambahnya. Tetapi dengan kehadiran kekal kapal Malaysia “tidak menguatkan lagi kes anda dari segi undang-undang”.

Katanya, komitmen Malaysia untuk mengambil segala langkah berkesan bagi mengendurkan sebarang ketegangan merupakan “langkah baik mengikut haluan yang betul”.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 10 Disember berkata kapal-kapal Malaysia akan terus berada di perairan yang dipertikaikan di sepanjang sempadan maritim Malaysia-Singapura.

Katanya, kapal-kapal itu akan terus berada di sana sehingga proses rundingan mengenai sempadan maritim antara kedua-dua negara selesai. – Bernama