Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) melihat jet pejuang F-35 Joint Strike Force (JSF) buatan Amerika Syarikat (AS) sebagai jet yang “paling sesuai” untuk menjadi barisan pesawat tempur generasi baru negara itu dalam usaha mengekalkan keupayaan tentera udaranya.

Oleh yang demikian, Kementerian tersebut akan mengadakan perbincangan dengan AS berhubung pembelian “sebilangan kecil” F-35 untuk melakukan penilaian penuh ke atas keupayaan dan kesesuaiannya bagi menggantikan pesawat tempur F-16 sedia ada Singapura.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Mindef berkata bahawa Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) telah menyelesaikan penilaian teknikal untuk memilih pengganti F-16 yang sudah ‘tua’ dan dijangka akan menjadi usang menjelang tahun 2030 dan ke atas.

“Walau bagaimanapun, penilaian teknikal juga mendapati bahawa RSAF perlu membeli sebilangan kecil F-35 JSF terlebih dahulu untuk penilaian penuh keupayaan dan kesesuaian mereka.

“Pada fasa seterusnya, Mindef akan membincangkan butiran selanjutnya dengan pihak-pihak yang berkenaan di AS sebelum mengesahkan keputusan untuk membeli F-35 JSF bagi keupayaan pertahanan Singapura,” kata kenyataan itu.

Namun, tiada maklumat lanjut mengenai jumlah sebenar atau varian F-35 yang akan dibeli oleh Singapura.

Difahamkan, F-35 mempunyai fungsi-fungsi halimunan yang membuatkan ia sukar dikesan oleh radar pihak musuh.

Ia juga mempunyai keupayaan rangkaian dalam menggabungkan maklumat daripada F-35 serta sekutu-sekutu lain untuk menghasilkan gambaran ruang pertempuran.

Pesawat canggih itu mempunyai tiga varian, termasuk versi pelepasan pendek dan pendaratan vertikal yang boleh mendarat seperti sebuah helikopter.

Dalam satu posting di Facebook, Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen menyatakan bahawa perbincangan bersama AS mungkin akan mengambil masa 9 – 12 bulan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Walaupun begitu, kita mahu membeli beberapa pesawat (F-35) dahulu untuk menilai keupayaannya sebelum memutuskan untuk membelinya secara menyeluruh.

“Kita perlu membuat persediaan dengan baik dan memperoleh masa yang mencukupi untuk menggantikan F-16 kita,” katanya.