Hampir 100 orang awam, sama ada terbunuh atau cedera setiap minggu di Yaman tahun lalu, di mana kanak-kanak menyumbang satu per lima daripada mangsa, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut angka yang dikeluarkan agensi pelarian dunia itu, lebih daripada 4,800 kematian dan kecederaan membabitkan orang awam dilaporkan sepanjang tahun 2018.

UNHCR berkata, kanak-kanak menyumbang kepada 410 kematian dan 542 kecederaan.

Berdasarkan sumber data yang dikemukakan, egensi berkenaan berkata, hampir separuh daripada korban, 48 peratus dilaporkan dari bandar barat Hodeidah, kawasan strategik yang menjadi pertempuran sengit antara militan Houthi dan Arab Saudi-UAE – pihak yang menyokong kerajaan Yaman.

Angka PBB juga menyatakan bahawa 30 peratus orang awam dibunuh di rumah mereka sendiri, termasuk ketika di jalan raya dan tempat awam lain.

“Laporan itu menunjukkan konflik kemanusiaan yang mengejutkan di wilayah itu,” kata Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Volker Turk.

Selama hampir empat tahun , Yaman menyaksikan pergolakan sengit antara tentera Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi dan militan Houthi, yang menguasai beberapa wilayah termasuk ibu negara, Sanaa.

Pada 2015, gabungan yang dipimpin Arab Saudi, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) melancarkan kempen menentang militan Houthi, yang turut mendapat sokongan Amerika Syarikat menerusi beberapa siri serangan udara yang dasyat.

Konflik itu sebahagian besarnya dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan kumpulan syiah di Iran. Houthi menyangkal dakwaan menerima bantuan daripada Iran, dan mengatakan revolusi mereka adalah menentang rasuah.

Akibat konflik itu, tiga perempat pendudukan Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan, sekali gus meletakkan negara itu sebagai berisiko berdepan masalah kebuluran.- Agensi