Ribuan Muslim Rohingya menyertai demonstrasi di Bangladesh semalam bagi menandakan satu tahun sejak rejim Myanmar melancarkan serangan ke atas etnik itu.

Lebih 15,000 orang berkumpul di kem pelarian Kutupalong di sini untuk menuntut keadilan ke atas ‘pembunuhan beramai-ramai’ yang dilakukan oleh rejim Myanmar.

Penunjuk perasaan – lelaki, wanita dan kanak-kanak – bergerak melalui perkhemahan berlumpur di samping melaungkan slogan seperti ‘Tidak ada lagi pembunuhan beramai-ramai, kami mahu keadilan.’

Selain itu, sepanduk yang tertera ‘25 Ogos – Hari Kegelapan’ juga turut kelihatan.

Menurut laporan Al Jazeera, pelarian Rohingnya terpaksa mendapatkan keizinan daripada pihak berkuasa Bangladesh terlebih dahulu untuk mengadakan demonstrasi berkenaan.

“Kami melihat lelaki, wanita, muda dan tua, menuntut hak mereka, menuntut keadilan, memohon kepada masyarakat antarabangsa untuk membantu mereka.

“Mereka juga mahukan pelaku genosid ini – rejim Myanmar – dipertimbangkan dan dibawa ke mahkamah oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa, “katanya.

Pada 25 Ogos lalu, dunia menyaksikan kekejaman rejim Myanmar melancarkan serangan – digelar aktiviti ‘pembersihan etnik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – selepas kumpulan bersenjata Rohingya melakukan serangan ke atas pasukan keselamatan sempadan.

Tindakan ganas itu memaksa lebih daripada 700,000 Rohingya meninggalkan wilayah Rakhine ke negara jiran, Bangladesh.

Sebelum ini, Bangladesh menandatangani perjanjian dengan Myanmar bagi menghantar pulang ribuan pelarian Rohingya Islam yang berlindung di sempadan Cox’s Bazar.

Bagaimanapun, proses penghantaran balik dihentikan berikutan rata-rata pelarian Rohingnya trauma untuk pulang ke kampung halaman mereka.

IW