Korea Selatan mengumumkan rancangan membeli dua sistem radar amaran awal buatan Israel, dalam usaha memperkukuh pertahanan udara negara itu.

Agensi perolehan senjata, DAPA, berkata, keputusan untuk memiliki dua sistem radar Green Pine Block C, yang dibina ELTA Systems, iaitu subsidiari syarikat milik kerajaan, Israel Aerospace Industries itu, diputuskan oleh satu jawatankuasa pemerolehan pertahanan.

DAPA bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut tempahan, namun seorang pegawai di kementerian pertahanan berkata ia membabitkan kos bernilai 330 bilion won (RM1.22 bilion) dan dijangka diperoleh pada awal 2020.

“Pembelian ini bertujuan mempertingkatkan keupayaan Korea Selatan untuk mengesan dan menjejaki peluru berpandu balistik jarak jauh dengan lebih awal,” kata DAPA dalam satu kenyataan.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Disember lalu berkata negara itu bakal membeli radar amaran awal tambahan selepas Pyongyang berjaya menguji peluru berpandu balistik antara benua. – Reuters