Tentera rejim pengganas Israel menembak mati seorang rakyat Palestin dan mencederakan lebih 40 yang lain, ketika protes mingguan di sempadan Gaza-Israel, semalam.

Tamer Arafat, 23, mati akibat kecederaan parah selepas ditembak di kepala ketika demonstrasi aman yang memasuki minggu ke-50 semalam.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, pertempuran itu juga menyebabkan 48 rakyat Palestin cedera akibat ditembak, termasuk empat kakitangan perubatan, dua wanita dan 15 kanak-kanak.

Seorang jurucakap rejim Israel mendakwa, pihaknya bertindak balas terhadap rusuhan yang kononnya mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Palestin mengadakan demonstrasi setiap minggu berhampiran sempadan Israel sebagai protes bersiri susulan bantahan besar-besaran Great March of Return, pada Mac tahun lalu.

Gaza berada di bawah kepungan Israel sejak Jun 2007 dan sekatan yang dikenakan menyebabkan rakyat Palestin berdepan kemelut pengangguran, kemisikinan, dan taraf hidup yang amat teruk.

Rejim Zionis menafikan hak asasi jutaan penduduk Gaza termasuk kebebasan bergerak, pekerjaan, serta rawatan kesihatan dan pendidikan, sekali gus menyaksikan gelombang baru ketegangan sejak 30 Mac, yang menandakan permulaan protes ‘The Great March of Return’.

Penganjur Great March of Return telah berulang kali menyeru masyarakat antarabangsa agar melaksanakan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menegaskan mengenai hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. – Agensi