Seorang remaja Palestin maut, manakala seorang lagi cedera selepas ditembak rejim pengganas Israel di Tebing Barat yang diduduki semalam.

Jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Mahmoud al-Saadi berkata, rejim pengganas Israel melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa ketika mereka melalui kawasan pos pemeriksaan Jalama.

Abdullah Tawalba, 19, maut ditembak di kepala, manakala rakannya yang masih belum dapat dikenal pasti identitinya, dilaporkan stabil.

Seperti dijangka, rejim pengganas Israel tetap menyalahkan kedua-dua remaja berkenaan berhubung kejadian itu yang mana mereka mendakwa tembakan dilepaskan kerana kedua-dua remaja terbabit melemparkan bahan letupan berhampiran kawasan pos pemeriksaan itu.

Kejadian pembunuhan ini berlaku sehari selepas seorang remaja lelaki Palestin meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami berikutan diserang rejim Israel ketika demontrasi aman ‘The Great March of Return’.

‘The Great March of Return’ adalah protes yang dilancarkan pada 30 Mac tahun lalu oleh ribuan rakyat Palestin di Gaza – kerana menderita akibat pengepungan Israel selama sedekad.

Penduduk Palestin menuntut hak untuk pulang ke tanah air mereka yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel sejak Mei 1948.

Langkah itu terpaksa diambil berikutan kesulitan hidup di Gaza serta ancaman yang sengaja dicetuskan pihak berkuasa Israel terhadap Baitulmaqdis.

Penganjur Great March of Return telah berulang kali menyeru masyarakat antarabangsa agar melaksanakan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menegaskan mengenai hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. – Agensi