Akhbar The Jerusalem Post mendakwa Israel menjual senjata bernilai puluhan juta dolar kepada rejim Sudan Selatan.

Menurut akhbar itu, perkara tersebut menjadi punca konflik di rantau berkenaan berpanjangan sehingga ke hari ini.

Rejim Sudan Selatan yang mempunyai hubungan akrab dengan Tel Aviv dituduh menggunakan senjata dan radar pengintip buatan Israel dan telah menyebabkan hampir 400,000 penduduk awam terkorban sejak 2013.

Bekas ketua operasi tentera, Israel Ziv dikatakan salah seorang ejen yang mengatur penjualan senjata api bernilai puluhan juta dolar kepada Sudan selatan.

Ziv menggunakan entiti sah di sisi undang-undang sebagai taktik untuk menjayakan urus niaganya.

“Ziv dibayar melalui industri minyak dan dikatakan memberi rasuah dan janji sokongan keselamatan bagi terus mendapatkan sokongan berterusan daripada pegawai kerajaan Sudan Selatan,” kata akhbar tersebut.

Nama Ziv didedahkan selepas beliau dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu kerana ‘menyemarakkan’ konflik di Sudan Selatan. – Press TV