Ahli Parlimen PH, BN dan bebas bersatu hati mengemukakan usul tergempar kepada Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk menangguhkan sesi Dewan Rakyat bagi membincangkan isu rusuhan yang membabitkan kuil Seafield Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya.

Sidang media yang julung kali membabitkan ahli-ahli Parlimen PH, BN dan bebas menyatakan pendirian sama agar Dewan Rakyat ditangguhkan bagin membolehkan wakil rakyat duduk bersama membincangkan kemelut pemindahan kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Awal hari ini BN diwakili Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee manakala bagi pihak PH usul tergempar itu dikemukan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, Speaker Dewan Rakyat telah memberi lampu hijau untuk membincang dan membahaskan konflik kuil yang telah mencetuskan ketegangan masyarakat pada sesi Parlimen, Khamis ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar meminta rakyat Selangor khususnya agar bersatu padu memastikan negara kekal aman dan harmoni.

“Kalau suasana jadi huru-hara dah tak kenal kerajaan atau pembangkang, jangan curah minyak, kalau terbakar tak kenal bangsa,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyatakan, solidariti ini bukan dari kerajaan semata-mata tetapi juga melibatkan pembangkang juga.

“Kekecohan ini perlu dibincangkan bersama untuk tenteramkan keadaan.

“Perkara ini wajar ditangani dengan serius, kita perlu bahas dengan cara bertamadun,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula memaklumkan, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari sedang mencari jalan penyelesaian dan diharapkan tidak ada pihak sengaja membakar lagi api kemarahan.

Dalam sidang media BN, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media bersama ahli-ahli Parlimen BN lain berkata, usul tergempar penangguhan sesi Dewan Rakyat ini wajib dijalankan kerana sekiranya tidak dikawal dengan cepat ia dikhuatiri akan merebak bukan saja di Subang Jaya tetapi mungkin di seluruh negara.

“Insiden kekecohan seperti ini tidak baik untuk masa depan negara,perkara ni perlu dibincangkan oleh semua oleh ahli Parlimen yang saya kira semua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan tidak bersetuju dengan tidak boleh menerima perkara yang berlaku ini,” katanya.

Dalam sidang media tersebut, beberapa ahli Parlimen PH antaranya Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), RSN Rayer (PH-Jelutong), Maria Chin (PH-Petaling Jaya), Charles Santiago (PH-Klang), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), P Prabakaran (PH-Batu) dan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani).

Manakala, ahli Parlimen pembangkang ialah Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Bebas-Masjid Tanah). 

– Sinar Harian