Pergerakan Perjuangan Palestin (Hamas) – yang menguasai Semenanjung Gaza – memaklumkan sempadan Rafah antara wilayah itu dan Mesir akan dibuka untuk laluan di kedua-dua arah.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Dalam Negeri Hamas berkata, lintasan itu akan beroperasi selama tiga hari mulai Isnin.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengesahan berhubung perkara itu daripada pihak Mesir.

Pada 6 Januari lalu, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menarik keluar semua kakitangan PA di pintu sempadan Rafah-Mesir di Semenanjung Gaza, dalam usahanya memberi tekanan kepada pentadbiran Hamas.

Susulan tindakan itu, pihak berkuasa Mesir menutup sempadan mereka, dengan menghadkan laluan untuk rakyat Palestin dari Mesir kembali ke Semenanjung Gaza sahaja.

PA yang berpangkalan di Ramallah telah mengambil alih persimpangan Rafah pada November 2017 sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang diusahakan Mesir.

Bagaimanapun, Hamas menyifatkan keputusan itu adalah sebahagian daripada dasar PA untuk mengetatkan sekatan ke atas Gaza – yang dikenakan oleh Israel dan negara jiran Mesir.

Perjanjian kedua-dua pihak itu runtuh, sekali gus mencetuskan kemelut dalaman serta konflik antara Hamas-PA.- Agensi