SIPITANG: Isu sekatan atlet dari Israel ke Malaysia tidak sama sekali menjejaskan industri pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, industri pelancongan negara berjalan seperti biasa walaupun sekatan dilakukan ke atas atlet Israel itu.

“Ada peraturan Kerajaan Malaysia ini terhadap Israel, ini pendirian kita (Malaysia). Dari dulu pun mungkin tidak dibenarkan.

“Ia (sekatan) tidak menjejaskan kedatangan pelancong dari negara-negara yang punyai hubungan dengan Israel. Tidak akan terjejas mereka ini datang melancong,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) diadakan di Dewan Serbaguna Daerah Sipitang, pada Ahad.

Hadir sama adalah Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob yang juga Presiden PAADIAN.

Baru-baru ini, Malaysia mengambil langkah menyekat kemasukan atlet dari negara itu untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Tindakan berkenaan seterusnya menerima kecaman hebat dari Israel sehingga menuduh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sebagai ‘anti-Semitisme melampau’.

Bagaimanapun, Mahathir dalam satu kenyataan medianya membalas langkah itu sejajar dengan pendirian negara yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.