Sasar kutipan RM1 juta dalam enam bulan

Satu Sekretariat Kemanusiaan Malaysia-Yemen dilancarkan hari ini bertujuan menggembleng rakyat Malaysia agar dapat menyumbang sekurang-kurangnya RM1 kepada Tabung Kemanusiaan Yemen.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekretariat yang setakat ini disertai oleh lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu menyasarkan kutipan RM1 juta dalam tempoh enam bulan bagi menghantar bantuan segera kepada mangsa perang di Yaman.

Beliau berkata, inisiatif itu dilakukan sebagai bantuan kemanusiaan untuk membekalkan makanan, ubatan serta khemah perlindungan kepada mangsa-mangsa perang yang terperangkap dalam serangan pakatan Saudi.

“Inisiatif ini juga adalah untuk menarik keprihatinan rakyat Malaysia agar mereka yang dianiaya terutama rakyat awam di Yaman dibela.

“Kita harap sejuta rakyat Malaysia tidak kira peringkat agama ataupun kaum dapat sumbang RM1 bagi mencapai misi untuk mengumpul dana bantuan kemanusiaan ini, “katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Sekretariat Kemanusiaan Malaysia-Yemen, di Pejabat Mapim,  di sini,  hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mengusahakan beberapa gerak kerja penyebaran maklumat serta mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak untuk memulakan inisiatif kempen advokasi selamatkan Yaman (Safe Yemen Campaign).

Azmi berkata,  beliau sangat berharap usaha dilakukan mendapat sokongan penuh kerajaan khususnya di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berdasarkan situasi Yaman yang semakin tenat katanya, Sekretariat berpendapat Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk mencari penyelesaian serta membantu keperluan kemanusiaan mangsa perang di Yaman yang berterusan sehingga sekarang.

“Malaysia perlu nyatakan pendirian tegas terhadap beberapa negara Arab yang mencetuskan peperangan sesama negara Islam dan tidak boleh membiarkan sumber negara Islam diperalatkan oleh negara imperialis seperti Amerika Syarikat dan melagakan antara negara Islam.

“Menerusi sekretariat ditubuhkan, kita juga akan cuba menarik lebih ramai penyertaan NGO lain dalam negara, negara-negara Asean serta  luar Asean untuk sama-sama membina kesedaran terhadap isu atau krisis di Yaman ini,” katanya.

Menurutnya,  pihaknya juga kini sedang mencari alternatif lain untuk mendapatkan lebih sumbangan dana dengan mendekati pihak korporat, dermawan, mengadakan gala dinner termasuk melaksanakan seminar Krisis Yaman,  implikasi dan penyelesaian dalam masa terdekat, ” katanya.

Azmi berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank, 564810009147 atas nama Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Kuala Lumpur atau boleh berhubung dengan Reza, 0173782521 atau 0192749794 Hasanuddin.

Sekretariat Kemanusiaan Malaysia-Yemen setakat ini dianggotai oleh Mapim, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Majlis Amal Islam Malaysia (Maim),  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim),  Pertubuhan Jaringan Anak Melayu Kuala Rimau serta Majlis Angkatan Perpaduan Islam (Map).

SH