Senator Bernie Sanders, berikrar akan menewaskan ‘presiden paling bahaya dalam sejarah moden Amerika’ iaitu Donald Trump dalam ucapan kempen presiden di kampung halamannya semalam.

Sanders menyuarakan keyakinan pada ucapan di Brooklyn, New York, bahawa beliau akan terlebih dahulu mengalahkan sokongan pencabarnya pada pencalonan 2020, dengan agendanya kini dianggap sebagai dasar perdana Democrat.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua kerana menjadi sebahagian kempen yang bukan sahaja akan memenangi pencalonan, yang bukan sahaja akan mengalahkan Donald Trump, presiden paling bahaya dalam sejarah moden Amerika.

“Namun dengan bantuan anda, kita akan mengubah negara dan seterusnya menghasilkan ekonomi dan kerajaan yang bekerja untuk semua, bukan cuma kepada satu peratus rakyat,” katanya.

Sanders berjanji kempennya akan berkata ‘dengan jelas dan terang’ bahawa prinsip asas kerajaan bukan tamak, kebencian dan penipuan.

Beliau kembali ke Kolej Brooklyn, yang pernah dihadirinya, untuk perhimpunan menegaskan kisah peribadinya, sebagai anak lelaki pendatang Yahudi, yang membesar di kawasan miskin.

“Saya tidak mempunyai bapa yang memberikan saya jutaan dolar untuk membina bangunan pencakar langit mewah, kasino dan kelab.

“Saya bukan berasal daripada keluarga yang memberikan saya elaun AS$200,000 (RM814,000) setahun bermula pada usia tiga tahun,” katanya dalam satu lagi sindiran terhadap Trump. — AFP