Menurut laporan Reuters, Kumpulan Dasar dan Undang-undang Hak Asasi Manusia (PILPG) menggesa satu tribunal jenayah ditubuhkan bagi mengheret mereka yang bersalah dalam isu kekejaman terhadap etnik Islam Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar ke muka pengadilan.

Laporan PILPG sebelum ini, terdapat bukti kukuh yang mengaitkan isu kekejaman terhadap Rohingya dengan tentera Myanmar.

Laporan tersebut dikeluarkan berdasarkan temu bual bersama 1,000 orang pelarian Rohingya di Bangladesh.

PILPG diarahkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) untuk menemu bual pelarian Rohingya sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kekejaman yang dilakukan terhadap etnik itu.

“Masyarakat antarabangsa wajib melindungi populasi yang terdedah dengan kekejaman dilakukan oleh kerajaan mereka sendiri dan memastikan keadilan serta ketelusan untuk jenayah se­perti itu,” jelas laporan terbabit.

Kumpulan itu menggesa penubuhan segera satu ‘meka­nisme ketelusan’ atau merujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Kumpulan tersebut menyatakan, dalam keadaan yang sama sebelum ini, mekanisme berbeza telah digunakan termasuk ICC, tribunal sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau tribunal domestik yang ditubuhkan dengan sokongan organisasi antara kerajaan.

Sementara itu, Muzium Memorial Holocaust AS di Washing­ton turut mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat bukti kukuh menunjukkan tentera Myanmar menjalankan operasi penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya.

Dalam pada itu, Dewan Negara AS dijangka menjalankan undian pada minggu depan berhubung resolusi yang me­nyatakan Rohingya merupakan mangsa pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan. – Media Adil