Ribuan warga Palestin hadiri pengkebumian, lapor BBC

Palestin sedang berkabung selepas 16 orang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di sempadan Gaza, lapor agensi penyiaran BBC.

“Ribuan warga Palestin menghadiri majlis pengkebumian hari ini.

“Semalam, ratusan penunjuk perasaan cedera ketika permulaan bantahan hak warga Palestin untuk kembali ke tempat asal keluarga mereka yang kini telah menjadi negara Israel,” lapor BBC.

Laporan BBC itu menyatakan bantahan yang berlangsung pada hari Jumaat itu merupakan konflik berdarah yang pertama semenjak perang Gaza pada 2014.

Menurut laporan BBC lagi, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengutuk keganasan tersebut selepas mengadakan sidang tergempar hari ini.

PBB minta bertenang

Timbalan pengerusi hal ehwal politik PBB Taye-Brook Zerihoun dipetik BBC sebagai berkata Israel perlu bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi.

“Israel perlu bertanggung jawab di bawah undang-undang antara bangsa kemanusiaan dan hak asasi manusia,” kata Zerihoun sebagaimana dipetik BBC.

Manakala itu, BBC juga memetik kenyataan duta Israel ke PBB, Danny Danon yang menyalahkan Hamas dalam pertumpahan darah itu. Hamas merupakan kumpulan yang menguasai Semenanjung Gaza di wilayah Palestin.

BBC turut memetik kenyataan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres melalui jurucakapnya yang ‘merayu kepada pihak yang berkenaan agar bertenang dan menahan diri daripada sebarang tindakan yang akan mengorbankan lebih banyak nyawa lagi’.

Semalam, ribuan warga Palestin berarak ke sempadan dalam permulaan bantahan selama enam minggu yang dikenali sebagai ‘Perarakan Besar Untuk Pulang’.