Polis Israel menembak mati remaja perempuan Palestin atas dakwaan cuba menikam anggotanya di pos pemeriksaan antara Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.

Samah Zuheir Mubarak, 16, ditembak mati polis sempadan Israel di pos pemeriksaan al-Zaeem yang memisahkan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dari kawasan kejiranan yang terletak di Baitulmaqdis Timur.

Polis Israel, Yoram Halevi mendakwa, remaja perempuan berkenaan cuba menikam pengawal keselamatan yang sedang meronda di pos pemeriksaan berkenaan sebelum ditembak.

“Kita tidak tahu motif beliau,” katanya sambil menambah kes itu sedang disiasat.

Keluarga Mubarak yang berada di Gaza menyifatkan, tindakan polis Israel itu sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

Insiden berlaku beberapa hari selepas tiga rakyat Palestin dibunuh rejim pengganas serta peneroka Israel.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa berikutan pasukan keselamatan Israel menggunakan kekerasan berlebihan ketika menghadapi rakyat Palestin yang melakukan serangan atau disyaki berbuat demikian ke atas mereka. – Agensi