Tindakan pihak berkuasa rejim Israel menjadikan masjid paling bersejarah di Safed, utara Palestin sebagai kelab malam, mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Masjid Al-Ahmar yang dibina pada abad ke-13, kini dijadikan bar dan dewan perkahwinan, termasuk untuk acara yang mempunyai kaitan dengan Majlis Perbandaran Israel.

Namanya turut ditukar kepada Khan Al-Ahmar, kata penduduk tempatan, Mustafa Abbas.

Beliau berkata, sebelum ini masjid berkenaan dijadikan pusat pengajian untuk anak-anak Yahudi, kemudian ditukar pusat bagi kempen pilihan raya dan kini ditukar pula menjadi kelab malam.

“Malangnya, semua acara mereka benarkan kecuali solat. Bagi penduduk Islam yang nak melawat masjid berkenaan, mereka sering diganggu serangan pendatang Yahudi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Infak Safed dan Tiberias, Khair Tabari berkata, pihaknya masih menunggu keputusan mahkamah Nazareth mengenai aduan yang difailkan meminta masjid itu dikosong dan dikembalikan kepada Khazanah Islam.

Katanya, semua dokumen bagi membuktikan pemilikan telah diserahkan kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun, beliau menggesa parti politik memberi kerjasama dalam usaha menyelamatkan masjid itu daripada sebarang pelanggaran dan kezaliman yang dilakukan pengganas Israel.

Nama Masjid Al Ahmar diberi kerana menggunakan batu berwarna merah. Ia dibina oleh Mameluke Sultan Al Daher Baibar pada 1223-1277 sebelum Masihi.

Tanda batu di pintu masuk masjid menyatakan ia dibina pada 1276 Masihi.

Pihak berkuasa rejim Israel secara sistematik menceroboh tapak-tapak Islam di wilayah Palestin yang diduduki dengan tujuan untuk menghapuskan identiti mereka. – IW