Rejim Zionis hari ini mengeluarkan arahan melarang sebilangan tokoh-tokoh dan penduduk Palestin yang bertugas di Masjid al-Aqsa mendekati kawasan tapak suci umat Islam itu.

Pengerusi Majlis Wakaf, Abdul-Adhim Salhab, diarah tidak memasuki kawasan al-Aqsa, atau laluan-laluan menuju ke al-Aqsa, selama 40 hari. Sementara timbalannya, Najeh Bukairat, juga dikenakan sekatan tersebut untuk tempoh selama empat bulan.

Sementara murabitin Arafat Najib dikenakan larangan selama enam bulan, dan Pengarah Persatuan Tahanan Palestin di Baitulmaqdis, Naser Qaws, dilarang masuk selama 40 hari.

Polis Zionis menangkap Abdul-Adhim selepas pembukaan dewan solat di Bab al-Rahma minggu lalu, dan mengharamkan beliau memasuki tapak suci selama seminggu. Larangan tersebut kemudian dilanjutkan kepada 40 hari.

Ramai pekerja wakaf dan murabitin al-Aqsa ditangkap oleh polis Zionis serta dilarang memasuki kawasan al-Aqsa, selepas mereka berjaya membuka semula Bab al-Rahma yang ditutup sejak 16 tahun lalu. – Agensi