Rejim Zionis dilapor menggunakan senjata baharu bagi menyuraikan tunjuk perasaan rakyat Palestin, khususnya di sepanjang pagar keselamatan sempadan Semenanjung Gaza dan Israel.

Senjata baharu itu menggunakan gelombang radio yang mencetuskan bunyi kuat seperti letupan bom, lapor media Israel, Wallah.

Nampak seperti tidak berbahaya, senjata itu dikatakan dibangunkan rejim Israel, dengan mengambil contoh daripada alat sama digunakan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) ke atas penunjuk perasaan.

Senjata itu juga dikatakan amat berkesan setelah digunakan kali pertama ketika rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan ulang tahun ‘The Great March of Return’ dan ‘Hari Tanah’, di pagar keselamatan itu, Sabtu lalu.

Namun, dalam perhimpunan itu askar rejim Israel masih menggunakan senjata api dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan, yang menyebabkan empat peserta terbunuh, manakala ratusan yang lain cedera.

Senjata seakan-akan Peranti Akustik Julat Panjang (LRAD) dihalakan ke arah penunjuk perasaan dan bunyi kuat seperti letupan bom akan dilepaskan.

Senjata hampir sama pernah dibangunkan oleh American Technology Corporation, dan dipasang pada kebanyakan kapal perang AS itu, menggunakan frekuensi pada julat 120dB (decibel) untuk memberi amaran, dan boleh mencecah sehingga 151dB jika amaran tidak dihiraukan.

Ia menghasilkan bunyi yang amat kuat, memerihkan dan berpotensi menyakitkan telinga. Malah, sesetengah pakar berkata letupan yang dikeluarkan itu boleh menyebabkan seseorang jatuh, dan merosakkan gegendang telinga. – Agensi