Rejim pengganas Israel mengarahkan 50 keluarga Palestin di Lembah Jordan untuk mengosongkan rumah mereka hari ini bagi memberi ruang kepada tentera mereka mengadakan latihan.

Dalam temu bual dengan radio Voice of Palestine, Pegawai Palestin, Mutaz Bisharat, yang memantau aktiviti penempatan di daerah Lembah Jordan/Tubas berkata, kira-kira 300 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan rumah mereka tatkala cuaca sejuk melanda.

Beliau berkata, latihan ketenteraan itu juga menyebabkan 148 ekar tanah pertanian musnah dan 34.5 ekar tanah yang lain diratakan.

Sekurang-kurangnya 44 peratus daripada jumlah tanah di Lembah Jordan diperuntukkan semula oleh tentera Israel untuk tujuan ketenteraan dan latihan.

Menurut Institusi Penyelidikan Gunaan – Baitulmaqdis (ARIJ), lebih 98,842 ekar daripada 177,916 ekar yang membentuk kawasan Lembah Jordan diubah menjadi kawasan tentera dan tembakan tertutup, dengan sekurang-kurangnya 6,672 ekar dirampas untuk penempatan haram Israel.

Penduduk Palestin di Lembah Jordan kerap dipaksa berpindah dan diganggu dengan latihan ketenteraan Israel di tanah mereka atau berhampiran dengan kediaman mereka.

Majoriti Lembah Jordan berada di bawah kawalan penuh tentera rejim pengganas Israel, walaupun berada di dalam Tebing Barat. – Agensi