Ratusan penduduk Islam bantah kerajaan runtuhkan masjid

Ratusan penduduk Islam dari etnik Hui di sini mengadakan tunjuk perasaan secara duduk bagi membantah rancangan kerajaan meruntuhkan sebuah masjid baru di Ningxia, barat China, serentak dengan usaha mengawal ajaran Islam di negara itu.

Pemerintah China secara rasminya menjamin kebebasan beragama di negara terbabit tetapi kerajaan yang khuatir dengan kemungkinan wujudnya elemen radikal dan keganasan sejak beberapa tahun ini telah mengetatkan kawalan di kawasan majoriti Islam.

Menurut pemerintah pekan Weizhou dalam satu notis bertarikh 3 Ogos, Masjid Besar Weizhou yang memiliki banyak mimbar dan menara mengikut seni bina Asia Barat tidak memiliki permit lengkap sebelum pembinaan.

Sehubungan itu masjid berkenaan akan diruntuhkan hari ini, kata kerajaan dalam notis terbabit yang tersebar luas di media sosial dan kalangan penduduk Islam China.

Arahan berkenaan menimbulkan kemarahan penduduk kampung namun rundingan antara wakil masjid dan kerajaan gagal mencapai sebarang kata sepakat berikutan tindakan jemaah yang menolak perancangan kerajaan untuk menukar kubah masjid kepada bentuk pagoda bagi memastikan ia mengikut budaya Cina.

Ratusan penduduk kampung kemudian bertindak berhimpun di perkarangan masjid sejak pagi tadi manakala datuk bandar Weizhou dijangka mengadakan satu lagi rundingan berhubung perkara itu, kata sumber yang enggan dikenali.

“Jika kami bersetuju (dengan rancangan kerajaan), ini bermakna kami menjual kepercayaan agama kami,” kata seorang jemaah dalam satu nota yang dimuat naik menerusi aplikasi media sosial WeChat.

Sementara itu, pengarah masjid, Ding Xuexiao akabila dihubungi berkata, beliau tidak boleh bercakap mengenai perkara itu.

– Sinar Harian