Rakyat berbilang kaum, agama dan peringkat umur dari segenap lapisan masyarakat harus bersatu untuk memupuk perpaduan di negara ini, menurut sebuah buku berjudul “Dialog: Thoughts on Tunku’s Timeless Thinking.”

Datin Seri Sharifah Menjelara Hussein, cucu kepada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, berkata buku antologi edisi kedua dapat disimpulkan sebagai garis panduan yang baik untuk Malaysia kerana ia memaparkan banyak perumusan utama oleh Allahyarham semasa eranya.

“Banyak rakyat Malaysia membawa ciri-cirinya. Perlembagaan persekutuan digubal di bawah pengawasannya. Banyak nilai-nilai nasional yang dipromosikannya seperti keharmonian Malaysia, merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, yang semuanya adalah isu yang relevan.
“Sekiranya anda membaca akhbar hari ini, semuanya berkisar mengenai isu-isu yang diulas oleh Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih hidup. Jadi kebijaksanaan itu kekal dan masih relevan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada Bernama pada pelancaran buku berjudul ‘Dialog: Thoughts on Tunku’s Timeless Thinking serta memperingati ulang tahun kelahiran ke-116 Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pada Rabu.

Buku antologi edisi baharu ini mengandungi beberapa esei baharu oleh beberapa aktivis dan pengulas utama Malaysia termasuk Datin Paduka Marina Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Sharifah Menjelara berkata buku itu terdiri daripada pelbagai bahagian termasuk kepimpinan dalam kerajaan yang boleh menjadi rujukan yang baik kepada pemimpin sekarang.

“Semua penyumbang dalam bahagian itu saya fikir boleh menjadi menghasilkan perkara yang sangat relevan apabila merujuk kembali kepada Tunku dan mereka pastinya merasakan kebijaksanaan Tunku masih relevan untuk pemimpin hari ini. Maka mana-mana pemimpin yang mahu memimpin kerajaan hari ini boleh mengimbas kembali apa yang dikatakan oleh Tunku, ” katanya.

— BERNAMA