Rakyat AS percaya misi Afghanistan gagal

Hampir separuh daripada rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya kempen ketenteraan di Afghanistan gagal mencapai matlamat utamanya.

AS menakluk Afghanistan kira-kira 17 tahun lalu, dengan misi menghancurkan Taliban sekali gus menamatkan keganasan di rantau Asia Selatan.

Namun, kaji selidik dikeluarkan Pusat Penyelidikan Pew pada Jumaat menunjukkan 49 peratus penduduk dewasa AS percaya bahawa Washington gagal memenuhi objektifnya.

Manakala hanya 35 peratus responden percaya AS telah berjaya menghapuskan pengaruh Taliban dan mengembalikan keamanan di rantau berkenaan.

Sementara 16 peratus responden lagi berkata mereka tidak mengetahui sama ada misi AS di Afghanistan berjaya atau sebaliknya.

Awal tahun ini, Presiden Donald Trump mendedahkan strategi baharu yang bakal memanjangkan campur tangan AS di negara bergolak tersebut.

Sejak dilantik presiden, Trump telah menambah bilangan tentera AS di Afghanistan kepada 15,000 orang.

Namun, situasi di Kabul bertambah buruk kerana selain Taliban, kumpulan milityan Daesh turut bertapak di negara berkenaan. – Agensi