“Keadaan ekonomi semakin lemah, kos sara hidup semakin meningkat dan terpaksa juga menerima hakikat pahit bahawa banyak janji manis yang tidak akan ditunaikan oleh kerajaan.”

Itu antara gambaran awal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terhadap liku-liku yang perlu dihadapi rakyat pada tahun 2019 di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya menerusi satu catatan Facebook, tahun ini dilihat bakal memberi cabaran dan mengakibatkan rakyat menempuhi kesukaran, terutama kegawatan ekonomi yang akan memberi kesan kepada kehidupan seharian.

“Saya telah bertemu dengan ramai dari seluruh negara dan mendengar sendiri ketidakpuasan, kemarahan dan kekecewaan rakyat.

“Ramai yang mengatakan mereka kini menyedari bahawa mereka terpedaya dengan pelbagai propaganda politik dari PH dan mereka hanya dapat melihat realitinya selepas kerajaan BN jatuh,” katanya.

Pada masa sama, Najib berkata, tahun ini juga dilihat memberi cabaran peribadi buat beliau, terutama membabitkan isu perbicaraan mahkamah.

“Saya akan membersihkan nama saya di mahkamah atas pelbagai tuduhan yang telah dilemparkan oleh kerajaan PH terhadap saya.

“Jika diberikan perbicaraan yang adil, saya dan peguam yakin saya akan berjaya,” katanya. – IsmaWeb