Pakar Sejarah Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali berkata, semangat cintakan tanah air di kalangan rakyat perlu disemarakkan lagi supaya pengorbanan nenek moyang terdahulu terus dikenang.

Beliau mengakui semangat patriotik yang dimiliki rakyat belum cukup kuat, ditambah pula penghayatan yang masih kurang.

Katanya, jika di sekolah sukatan subjek Sejarah ada menyentuh nilai-nilai murni dan kemerdekaan negara.

“Mereka sedar tentang itu, cuma mereka tidak menghayatinya dengan penuh perasaan. Saya melihat tahap patriotik itu ada, bukannya tiada langsung.

“Mereka sedar perkara itu, mereka belajar di sekolah tidak kira dalam aliran sains mahupun aliran sastera. Semuanya sedar, cuma penghayatannya saja kurang,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Justeru, Dr Abdullah berkata, rakyat terutamanya golongan muda perlu diingatkan dengan kemerdekaan tanah air, supaya ia tidak terus dipandang sepi.

“Saya rasa kalau usaha ini ditingkatkan dari semasa ke semasa, ia mampu tambah semangat kepada orang muda. Mereka dapat menghayati bahawa kemerdekaan itu adalah perjuangan yang dicapai nenek-moyang mereka yang memang tinggi nilainya,” katanya.

SH