Qatar bersedia untuk menjadi orang tengah di antara dua puak utama Palestin bagi menyelesaikan masalah dalaman mereka, termasuk mencapai visi negara itu untuk bersatu padu.

Duta Qatar di Palestin, Mohamad Al-Emadi berkata, Hamas telah mencadangkan untuk menjemput pemimpin-pemimpin semua puak di Palestin bagi membincangkan isu berkaitan pilihan raya dan usaha kesepakatan mencapai visi negara.

Mohamad berkata, beliau juga telah bertemu dengan pembantu kanan Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas iaitu Hussein Al-Sheikh, untuk membincangkan beberapa isu berkaitan Gaza dan hubungan antara PA dengan Hamas.

“Saya bertemu dengan Hussein Al-Sheikh dan membincangkan beberapa isu, termasuk sempadan Rafah, pilihan raya dan jemputan Russian kepada pemimpin Palestin.

“Saya memintanya untuk mengkaji langkah PA berkaitan dengan sempadan Rafah dan dia berjanji untuk membawa isu itu kepada Mahmoud Abbas,” katanya dalam satu sidang media di Semenanjung Gaza, semalam.

Abbas adalah pemimpin Fatah yang menguasai Tebing Barat, sementara Hamas pula menguasai Semenanjung Gaza.

Mohamad berkata, Hussein turut meminta beliau menyampaikan visi Abbas mengenai pilihan raya, bahawa Presiden Palestin itu bersedia melaksanakan pemilihan di semua wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis.

Sebelum ini, Abbas menarik keluar semua kakitangan PA di pintu sempadan Rafah-Mesir di Semenanjung Gaza, dalam usahanya memberi tekanan kepada pentadbiran Hamas.

Susulan tindakan itu, pihak berkuasa Mesir menutup sempadan mereka, sekali gus mengakibatkan dua juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza kini terkepung tanpa sebarang akses untuk keluar dari kawasan yang disifatkan sebagai penjara terbuka paling besar di dunia itu.

Abbas sebelum ini menuduh Hamas dan pegawai Fatah bekerjasama mendesak beliau meletak jawatan.

Sejak April 2017 lagi, Presiden Palestin itu melaksanakan beberapa ‘hukuman’ terhadap Semenanjung Gaza bertujuan mengenakan tekanan kepada Hamas.

Ribuan kakitangan pentadbiran di Gaza sebelum ini berdepan masalah apabila PA memotong gaji mereka selain menafikan hak untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. – Agensi