Pyongyang, Seoul dan Perintah PBB (UNC), hari ini mencapai persetujuan untuk menarik balik senjata dan pos pengawal di Zon Bebas Tentera (DMZ) di Panmunjom pada Khamis ini.

Rundingan trilateral pusingan kedua itu berlangsung di Panmunjom untuk membincangkan langkah menyahtentera di sempadan selepas kesepakatan dicapai antara Korea Utara dan Selatan baru-baru ini.

Ketiga-tiga pihak itu juga merancang untuk menarik balik kesemua senjata api di Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) di Panmunjom dan masing-masing mengurangkan 35 anggota yang ditempatkan di kawasan itu serta berkongsi maklumat tentang peralatan pengawasan.

Difahamkan, Pyongyang dan Seoul telah membersihkan periuk api di sekitar kawasan DMZ terbabit sebagai daripada perjanjian yang dipersetujui.

Di bawah perjanjian itu, kesemua pihak digesa menghentikan tindakan permusuhan dan zon larangan terbang di sekitar sempadan. – Reuters