Pada bulan Oktober, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mencetuskan kebimbangan global apabila beliau mengisytiharkan bahawa AS akan menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987 yang telah dilakukan bersama Rusia ketika era Perang Dingin.

Trump berkata, beliau akan meningkatkan stok nuklear AS sehingga “semua pihak mula sedar diri.”

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua negara dilarang untuk membangunkan senjata nuklear jarak sederhana.

Oleh itu pada awal bulan ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengancam untuk membangunkan peluru berpandu nuklear yang terlarang di bawah perjanjian tersebut.

Keadaan bertambah tegang apabila Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo sebaliknya mmengugut bahawa AS akan menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987 itu dalam tempoh 60 hari sekiranya Rusia tidak melucutkan senjata peluru berpandu sedia ada mereka yang disifatkan oleh Washington sebagai “pelanggaran perjanjian”.

Putin menolak sekeras-kerasnya kenyataan Pompeo itu dan menyifatkannya sebagai “agenda tersembunyi”, kerana presiden Rusia itu berpandangan bahawa AS memang sudah mempunyai rancangan untuk menarik diri daripada perjanjian berkenaan.

“Mereka (AS) ingat kita (Rusia) tidak akan nampak. Kita membantah penghapusan perjanjian ini.

“Tetapi sekiranya ia (AS menarik diri daripada perjanjian) berlaku, kita akan mengambil tindakan sewajarnya,” tegas Putin.

Beliau berkata, pelbagai negara kini sudah pun mengeluarkan peluru berpandu jarak sederhana seperti yang diharamkan di bawah perjanjian INF.

“Tetapi sekarang rakan Amerika kita mempercayai bahawa situasi telah banyak berubah sehinggakan AS juga perlu mempunyai senjata-senjata sedemikian.

“Apakah jawapan kami? Mudah sahaja: kita juga akan melakukannya,” ujar Putin.

Sementara itu, Ketua Diplomatik Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini menggesa Rusia dan AS untuk terus mengekalkan perjanjian itu.

Menurut Mogherini, Eropah tidak mahu menjadi ‘medan pertempuran’ kuasa-kuasa dunia sekali lagi, seperti yang berlaku ketika Perang Dingin.

“INF telah menjamin keamanan dan keselamatan di wilayah Eropah selama 30 tahun,” jelasnya.