Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (MBS) telah dikritik hebat oleh negara-negara Barat kerana disyaki menjadi dalang utama di sebalik pembunuhan kejam wartawan terkemuka, Jamal Khashoggi pada bulan Oktober lalu.

Tetapi tidak cukup dengan itu, MBS kini terpalit dengan kontroversi baru apabila mempertahankan tindakan China yang meletakkan ramai etnik minoriti Islam Uyghur dalam kem tahanan.

Sokongan putera itu kepada China berhubung perkara tersebut dilihat seolah-olah beliau mahu mencari ‘sekutu’ baru.

Pada Jumaat, 22 Februari 2019, MBS tiba di China untuk bertemu Naib Perdana Menteri negara itu, Han Zeng dan telah menandatangani perjanjian dengan Beijing berkaitan pengeluaran tenaga dan industri kimia.

Namun ketika lawatannya, beliau turut menyokong dan mempertahankan penggunaan ‘kem pendidikan’ China ke atas populasi Islam di negara itu.

“China berhak untuk melaksanakan kerja-kerja anti-keganasan dan deradikalisasi untuk keselamatan negaranya,” kata Putera Mahkota tersebut.

Difahamkan, China telah menahan kira-kira 1 juta warga Uyghur dan menempatkan mereka di kem-kem tahanan, yang dikatakan melaksanakan program-program ‘pendidikan semula’ kononnya untuk membanteras ekstremisme.

Uyghur merupakan sebuah kumpulan etnik Turkic yang menganut agama Islam dan menetap di Barat China serta beberapa bahagian di Asia Tengah.

Beijing menuduh penduduk Uyghur di wilayah Xinjiang menyokong terorisme dan jutaan umat Islam juga didakwa dipaksa untuk mempelajari doktrin komunis di kem tahanan.

“Kerajaan China telah lama melaksanakan dasar-dasar penindasan terhadap warga Turkic Islam di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) di barat laut China.

“Usaha-usaha ini telah ditingkatkan secara dramatik sejak hujung tahun 2016, apabila Setiausaha Parti Komunis, Chen Quanguo berpindah dari Wilayah Autonomi Tibet untuk memimpin Xinjiang.

“Terdapat laporan kematian mengenai kematian yang berlaku di dalam kem pendidikan politik itu, dan ini menimbulkan kebimbangan tentang penderaan fizikal dan psikologi, serta tekatan akibat keadaan sekeliling yang teruk, kesesakan, dan pengasingan yang tidak mempunyai batasan.

“Penjagaan kesihatan asas disediakan, tetapi mereka (Uyghur) tetap ditahan walaupun mereka adalah orang tua atau mempunyai penyakit-penyakit serius; terdapat juga remaja, wanita mengandung dan menyusu, serta orang kurang upaya.

“Individu-individu yang pernah ditahan dilaporkan cuba membunuh diri dan hukuman berat dikenakan (ke atas tahanan) yang tidak mengikut arahan di fasiliti tersebut,” menurut laporan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch.

Walau bagaimanapun, China sebaliknya mendakwa bahawa kem-kem tersebut hanyalah ‘sekolah latihan vokasional.’

Dalam pada itu, kumpulan-kumpulan Uyghur telah menyeru Mohammed Bin Salman menggunakan lawatan rasminya ini untuk memberi tekanan ke atas China berhubung isu kem tahanan, memandangkan Arab Saudi, secara tradisinya, telah menjadi pembela hak asasi orang Islam di seluruh dunia.

Tetapi di bawah kepimpinan Putera Mahkota yang masih muda itu, kepimpinan Arab Saudi dilihat menjadi semakin lebih mementingkan kepentingan dasar luarnya.

Sebagai contoh, Arab Saudi dilaporkan telah mula menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan Israel walaupun rejim itu menindas rakyat Palestin.

Tindakan Arab Saudi berbaik-baik dengan Israel dilaporkan bertujuan untuk mengenepikan Iran, yang menjadi musuh kedua-dua negara itu.

Dalam lawatannya ke China, MBS juga akan bertemu dengan Presiden Xi Jinping. China dan Arab Saudi mempunyai hubungan ekonomi yang akrab, di mana jumlah perdagangan di antara kedua-dua negara pada tahun 2018 dianggarkan bernilai AS$63 bilion (RM257 bilion).