PRU14: Walaupun sengit, BN tetap akan menang – Ku Li

GUA MUSANG: Walaupun pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dijangka sengit, Barisan Nasional (BN) dijangka tetap akan mengekalkan kemenangan dan memerintah negara.

Ini kerana, sokongan rakyat, terutamanya penduduk di kawasan pedalaman, tidak berubah terhadap BN walaupun pelbagai isu dibangkitkan pembangkang.

“Kita tidak tahu dapat majoriti lebih atau tidak, tetapi kalau berdasarkan keputusan sebelum ini, kita dapat mengekalkan pengaruh kita di tempat kita bertanding,” kata┬áveteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah pada Khamis.

“Jadi, kalau ada ramai pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya, kemungkinan besar ia akan memecah undi parti-parti yang tidak dapat mengekalkan pengaruh mereka,” menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, melahirkan keyakinan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto di sini.

Sementara itu, ditanya sama ada serangan pembangkang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih bersifat peribadi, Tengku Razaleigh berkata, perkara itu tidak sewajarnya berlaku.

Tambahnya, perjuangan pemimpin parti politik hendaklah berdasarkan kepada pembelaan rakyat, bukan soal peribadi yang di luar tatacara politik.