Pilihan Raya Kecil (PRK) P.186 Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas.

Calon DAP Vivian Wong Shir Yee yang mempertahankan kerusi DAP, yang pernah dimenangi mendiang bapanya, akan ditentang oleh calon PBS Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Hamza @Hamzah A Abdullah dan Sulaiman Abdul Samat.

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian PRK P.186 Sandakan Haji Mohd Hamsan Awang Supain selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua di sini.

Terdahulu, Sulaiman, 36, yang hadir bersama pencadang Shamsiah Raiman dan penyokong Abd Hashim Sukarno telah menghantar borang percalonan pada jam 9.05 pagi.

Ia diikuti dengan Tsen, 63, yang menghantar borang pencalonan pada jam 9.06 pagi dengan ditemani pencadang Lim Lee Fong dan penyokong Mohd Rizuan Mohd Damit.

Sementara, Hamza menghantar borang pencalonan bersama pencadang Siti Fatimah Hamzah dan penyokong Muhammad Razeef Hamzah pada jam 9.08 pagi.

Chia pula menghantar borang pencalonan pada jam 9.09 pagi dengan diiringi pencadang Ajmih Saiyari dan penyokong Chia Siew Mean.

Dan, Vivian menjadi calon yang terakhir menghantar borang pencalonan pada jam 9.14 pagi dengan diiringi pencadang Larina Wong Shiao Yee dan penyokong Benita Wong Shing Yee.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, calon DAP, Stephen Wong Tien Fatt menang dengan undi 19,094 mengalahkan calon Barisan Nasional, Lim Ming Hoo yang memperoleh 8,996 undi.

PRK P.186 Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Stephen, yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 11 Mei untuk hari mengundi dan 7 Mei bagi undi awal.