Pas Negeri Sembilan bersedia memberi laluan dan sokongan kepada calon UMNO bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pemangku Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, ia berdasarkan kepada kerjasama antara kedua-dua parti itu yang telah pun terjalin sebelum ini.

“Pas tidak akan bertanding di Rantau dan akan membantu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Bagaimanapun, kita tunggu keputusan muktamad dan arahan yang akan dibuat oleh kepimpinan Pas pusat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Islam dan Islam dan Nabi Muhammad SAW di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rafiei berkata, Pas dan UMNO telah pun mengadakan dua program bersama di Negeri Sembilan iaitu ceramah perdana di Felda Lui Barat, Jempol serta jamuan makan malam Pas Seremban dan pimpinan UMNO.

Sementara itu, jelas beliau, usaha untuk kedua-dua parti itu membentuk gabungan melalui perjanjian rasmi masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi.

Berhubung PRK Semenyih, katanya, Pas Negeri Sembilan membantu calon BN melalui kehadiran Dewan Muslimat selain beberapa kumpulan lain akan turun ke lokasi menjelang kempen terakhir. – K! Online