Perdana Menteri Pakistan Imran Khan tiba di Lapangan Terbang Tehran di Mehrabad pada malam Ahad (21/04), selepas singgah sebentar di bandar Mashhad, timur laut Iran, dalam lawatan rasmi pertamanya ke Republik Islam Iran.

Perdana Menteri Pakistan dan rombongannya disambut oleh Menteri Kesihatan dan Pendidikan Perubatan Iran, Saeid Namaki.

Imran Khan akan secara rasmi disambut oleh Presiden Iran Hassan Rouhani di Istana Sa’adabad, utara Tehran, pada hari Isnin (22/04).

Selepas upacara itu, perwakilan Iran dan Pakistan dijangka memulakan perbincangan dua hala mereka mengenai perkembangan hubungan Tehran-Islamabad dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi, keselamatan dan budaya.

Perdana menteri itu juga dijadualkan untuk bertemu dengan Pemimpin Revolusi Islam Ayatollah Seyyed Ali Khamenei semasa berada di Teheran.

Dalam lawatan dua hari itu, Perdana Menteri Imran Khan diiringi Menteri Maritim Ali Haider Zaidi, Menteri Penyelarasan Antara Negeri Fahmida Mirza, Menteri Hak Asasi Manusia Shireen Mazari, penasihatnya dalam Perdagangan dan Perindustrian Abdul Razak Dawood, dan pembantu khasnya dalam Hal Ehwal Luar Pakistan Sayed Zulfiqar Abbas Bukhari.