Kerajaan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bersetuju meluluskan lima projek utama pembangunan negeri itu yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.4 bilion.

Menteri Besar, Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri turut berterima kasih di atas kesudian Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di atas kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 7 Mac lalu.

Pada kunjungan itu juga, Azmin turut mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan kali pertama.

“Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh di atas keputusan Perdana Menteri bahawa tidak akan ada lagi lantikan politik dalam MTNg dan buat pertama kali struktur majlis ini dirombak dengan membabitkan pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan sahaja.

“Kerajaan negeri melihat bahawa perlantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku pengerusi MTNg Kelantan adalah sebagai pemilihan yang tepat dan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan semua projek-projek pembangunan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Yakob berkata, pada mesyuarat itu, Azmin telah mengumumkan lima projek yang diluluskan.

Projek-projek berkenaan adalah pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sejauh 150 KM bermula dari Gemuroh (Terengganu) ke Tumpat sepanjang 150 KM; menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra; membina jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli; pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu; dan pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123 kilometer.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan berkata, pembinaan LPT3 dilihat penting kerana akan memberikan impak besar kepada Kelantan.

Beliau berkata, ia akan mewujudkan satu koridor ekonomi baru di pesisiran pantai di Kelantan dan dapat membantu kemajuan Pelabuhan Tok Bali yang telah pun dibina atas inisiatif pihak swasta.