Anggota pasukan keselamatan Thai memeriksa kawasan di mana bom tepi jalan diletupkan oleh militan yang disyaki di wilayah selatan Thailand, Narathiwat, pada Isnin.

Berikutan insiden letupan bom pada hujung minggu lalu, pihak berkuasa Thailand mempertingkatkan langkah keselamatan di selatan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua, memetik seorang pegawai kerajaan pada Isnin.

Anggota tentera dan polis diarahkan sentiasa berjaga-jaga terutamanya di wilayah Satun dan Phatthalung, meskipun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang berlaku pada Sabtu dan Ahad itu, kata jurucakap Operasi Keselamatan Dalaman di wilayah Selatan, Kolonel Pramote Phromin.

Sebanyak 11 tempat menjadi sasaran termasuk dua balai polis di daerah Satun dan di Pak Phayun di Phatthalung, landasan kereta api dan rumah kedai.

Pasukan tentera dan polis turut melancarkan operasi mengesan pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan terbabit, yang kemungkinan bermotif politik bertujuan menimbulkan kekacauan, kata Pramote. — Bernama

Kategory
Dunia