Petani mahu sumbang tenaga, tolak pampasan kerajaan

Beberapa petani yang terjejas tanah mereka semasa operasi menyelamat 12 kanak-kanak dan seorang jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang baru-baru ini menolak pampasan yang ingin diberi kerajaan.

Sebaliknya mereka mahu diberi pampasan dalam bentuk yang lain. Petani terbabit mahu diberi peranan untuk menghulurkan bantuan tenaga dan material untuk membawa keluar mangsa insiden berkenaan.

Menurut laporan Bangkok Post, seramai 19 petani awalnya diminta supaya membenarkan tanah mereka dijadikan tempat untuk membuang air yang disedut dari dalam gua berkenaan.

Dengan limpahan air yang banyak serta deras, keadaan tanah mereka pasti mengalami kesan yang ketara.

Melihat keadaan itu kerajaan menawarkan sejumlah pampasan berbentuk wang untuk menampung kerugian berkenaan.

Jurucakap kerajaan Left Jen Sansern Kaewkamnerd berkata tawaran itu ditolak dengan baik oleh petani terbabit.

“Pemilik tanah yang berada di kampung di daerah Mae Sai mahu mereka diizinkan menyertai misi menyelamat berkenaan sesuai dengan kemampuan masing-masing,” katanya.

Pun begitu kerajaan tetap menghulurkan bantuan sewajarnya. Antara bantuan yang diberikan melalui Kementerian Pertanian Thailand itu ialah benih laici, terung dan cili.

Tidak ketinggalan ialah bekalan baja dan racun organik. Kerajaan juga menawarkan untuk membaik pulih semua peralatan mereka yang rosak.

“Secara keseluruhan kerajaan mengeluarkan bantuan bernilai 1.4 juta baht,” katanya.

Tragedi di gua Tham Luang itu menarik perhatian dunia apabila 12 pemain sebuah kelab bola sepak kampung terperangkap bersama jurulatih mereka jauh sehingga 4km di dalam gua.

Usaha menyelamat mereka berdepan risiko yang sangat besar kerana keadaan gua itu yang mencabar. Malah seorang bekas anggota tentera laut Thai juga maut semasa cuba membawa bekalan kepada mangsa yang terperangkap.

Mereka berada di dalam gua berkenaan sejak 23 Jun dan hanya selamat keluar 18 hari kemudian.

sumber – MalaysiaKini