Pesawat tentera India hari ini menceroboh ruang udara Pakistan, serta dilaporkan menyerang kedudukan kumpulan bersenjata Jaish-e-Muhammad (JeM), susulan serangan bunuh diri yang mengorbankan 42 anggota separa tenteranya di Kashmir, 14 Februari lalu.

Penduduk tempatan Pakistan mengesahkan kedengaran bunyi pesawat dan letupan di Jaba, Mansehra, yang terletak kira-kira 60 kilometer dari sempadan yang memisahkan Kashmir yang ditadbir India dan Kashmir (Pakistan).

New Delhi mendakwa berjaya memusnahkan kem latihan JeM, sementara jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata, pesawat India melarikan diri selepas dikejar tentera udara Pakistan.

Bagaimanapun, pesawat tentera India itu sempat melepaskan bom yang dibawa ke wilayah Pakistan.

Asif berkata, pesawat India itu melintasi ruang udara Muzafarabad, tetapi dikejar jet pejuang Pakistan.

“Bom yang dilepaskan pesawat India hanya memusnahkan kawasan hutan, tanpa menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Luar India, Vijay Gokhale, mendakwa pesawat India mencapai sasaran mengebom kawasan kumpulan bersenjata JeM.

“Serangan itu menyasarkan sebilangan besar kelompok JeM terdiri daripada pelatih, komandan kanan dan kumpulan jihad fidayeen,” katanya.

Pengarah Kajian Dasar New Delhi, C Uday Bhaskar pula berkata, India telah memberi isyarat kepada Pakistan tahap keupayaan mereka untuk menyelesaikan ancaman menggunakan kuasa ketenteraan di ruang udara.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi kerajaannya di New Delhi untuk mendapat makluman mengenai serangan itu. – Agensi