Pertabalan Sultan Kedah penuh tradisi, istiadat bersejarah

Dalam suasana penuh tradisi, dilengkapi adat resam Kesultanan Mela­yu negeri, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini ditabal sebagai Sultan Kedah Ke-29 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini.

Serentak dengan itu, baginda kini bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pertabalan baginda juga penuh bersejarah selepas kali terakhir istiadat sama diadakan pada 1959, iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabal sebagai Sultan Kedah Ke-28.

Sultan Sallehuddin diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Ma­liha Tengku Ariff dalam istiadat yang gilang gemilang tersebut.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan isteri, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah bersama isteri, Puan Seri Datuk Nora Abdullah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Ma­liha ke Balairung Seri diiringi para pegawai yang membawa alat kebesaran antaranya cogan agama, cogan alam, cokmar, pedang, tombak dan lembing didahului Datuk Paduka Seri Maharajalela, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin yang bertindak selaku ketua istiadat.

Sebaik baginda berdua bersemayam di atas singgahsana, ketua istiadat kemudiannya menghadap dan memohon limpah per­kenan untuk memulakan istiadat.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang mengambil tempat bagi membacakan surah al-Imran Ayat ke-26 sebelum Menteri Besar membacakan watikah perisytiharan baginda.

Syed Unan kemudiannya mem­persembahkan al-Quran yang merupakan alat kebesaran kepada Sultan Sallehuddin sebelum baginda dilihat me­ngucup dan meletakkan naskhah suci tersebut di tempat khas di sebelah tempat baginda bersemayam.

Tidak berakhir di situ, Syed Unan sekali lagi mempersembahkan surat sumpah diraja kepada baginda.

Sambil para hadirin berdiri, Sultan Sallehuddin kemudiannya melafazkan titah diraja yang antaranya menyatakan sumpah dan ikrar baginda untuk menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan negeri serta semua jajahan takluk mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Selepas itu, Keris Perkasa Alam yang melambangkan kekuasaan, kebesaran dan ke­daulatan Sultan Kedah di­persembahkan ketua istiadat kepada baginda. Baginda lalu menghunus keris tersebut lalu mengucupnya.

Ketua Istiadat lalu membuat pengumuman yang baginda ditabal sebagai sultan negeri ke-29 dengan gelaran Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.

Paluan nobat kemudiannya kembali bergema disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.

– Utusan Online