Penyokong penulis Saudi berhimpun tuntut pembebasannya

Seorang penulis ruang masih hilang kelmarin manakala penyokong berhimpun di luar konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk menuntut “pembebasannya” walaupun Riyadh menafikan dia sedang ditahan di sana.

Jamal Khashoggi, seorang penyumbang kepada akhbar Washington Post, tidak kelihatan sejak dia pergi ke misi Arab Saudi pada Selasa lepas untuk mendapatkan dokumen rasmi bagi perkahwinannya.

Persatuan Media Turki-Arab (TAM) menganjurkan rapat umum di hadapan konsulat untuk Khashoggi, seorang bekas penasihat kerajaan yang kritis terhadap beberapa dasar Putera Mahkota Mohammed bin Salman serta campur tangan Riyadh dalam peperangan di Yaman.

Dia sudah hidup dalam buangan sendiri di Amerika Syarikat sejak tahun lepas untuk mengelak tangkapan.

Putera mahkota memberitahu Bloomberg bahawa wartawan itu tidak ada di dalam konsulat dan berkata baginda bersedia untuk membenarkan pihak berkuasa Turki memeriksa bangunan tersebut.

“Kami bersedia untuk mengalu-alukan kerajaan Turki bagi memeriksa premis kami,” kata baginda, yang merupakan wilayah berdaulat Arab Saudi.

Baginda menambah, “kami akan membenarkan mereka untuk masuk dan memeriksa dan melakukan apa sahaja yang mereka mahu lakukan. Kami tidak menyembunyikan apa-apa,” kata baginda dalam wawancara yang diterbitkan kelmarin.

Menurut tunang Khashoggi, seorang wanita Turki bernama Hatice A, dia pergi ke konsulat berkenaan dan tidak pernah muncul semula.

Ankara dan Riyadh telah memberikan versi yang bertentangan mengenai keadaan di sebalik kehilangan Khashoggi, dengan pegawai Turki yang menyatakan mereka percaya dia masih berada di dalam konsulat.

Namun Arab Saudi mendakwa dia telah masuk dan kemudian meninggalkan misinya Selasa lepas.

“Sebagai wartawan, kami bimbang mengenai nasib Jamal. Kami tidak tahu sama ada dia masih hidup ataupun tidak, dan kenyataan oleh Arab Saudi mengenai subjek itu sama sekali tidak memuaskan,” kata Turan Kislakci, seorang rakan Khashoggi dan ketua TAM, dalam satu kenyataan kepada penyokong.

Ketika Kislakci bercakap, penyokong mengangkat imej wartawan itu, dengan kata-kata ‘Bebaskan Jamal Khashoggi’.

“Kami percaya Jamal Khashoggi adalah ‘hot’ konsulat dan menuntut pembebasannya dengan segera, atau memberitahu kami di mana dia berada,” tambah Kislakci.

Pengarah penyelidikan Amnesty International di Timur Tengah, Lynn Maalouf, menggesa Riyadh untuk “segera mendedahkan bukti yang menyokong dakwaan mereka” bahawa Khashoggi meninggalkan konsulat, “jika tidak dakwaan mereka sama sekali tidak berasas”.

Aktivis Yaman dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel pada 2011 Tawakkol Karman mengecam pihak berkuasa Saudi dan memberitahu AFP dia percaya Khashoggi “diculik di dalam sarang gengster ini yang sepatutnya sebuah konsulat”.

“Apa yang kita mahukan ialah pembebasan Jamal Khashoggi. Dia memasuki bangunan konsulat, di perlu keluar dari sana dalam keadaan selamat dan sihat. Dan kerajaan Turki mesti memikul peranan dan menangani kes Jamal Khashoggi kerana kedaulatan Turki telah dicabul,” ujarnya.

Human Rights Watch (HRW) menyeru kepada Ankara untuk “mendalamkan lagi siasatan mereka” bagi mengetahui di mana wartawan itu berada, dan berkata penahanannya boleh dianggap “kehilangan paksaan” dalam satu kenyataan lewat Khamis lepas.

“Jika pihak berkuasa Saudi secara diam-diam menahan Khashoggi, ia adalah satu lagi penindasan ke atas pengkritik dan penentang aman dalam pemerintahan Putera Mahkota Muhammad bin Salman,” kata Sarah Leah Whitson selaku pengarah Timur Tengah di HRW.

Maalouf dari Amnesty berkata insiden itu “memberi isyarat yang menakutkan” kepada penentang dan pengkritik di negara beraja berkenaan. – AFP