Penyatuan bangsa Melayu yang diterajui UMNO dan Pas bukan satu `pengisytiharan perang’ kepada mana-mana pihak.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, agenda itu semata-mata dilakukan selepas melihat orang Melayu kini berpecah.

Katanya, bukan Melayu pula tidak perlu berasa bimbang kerana penyatuan Melayu akan menjadikan negara lebih stabil dan suasana politik aman serta sentosa.

“Tidak ada lagi politik pecah belah. Apabila orang Melayu yang membentuk peratusan penduduk paling besar bersatu, maka tanah air kita akan aman dan sejahtera.

“Ekonomi akan jadi baik dan orang bukan Melayu pun dapat menikmati kesejahteraan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Bersama Presiden Pas anjuran Pas Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam ucapannya berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu menyebabkan ramai orang Melayu sedar dan insaf sekali gus membolehkan Pas dan UMNO bekerjasama.

Justeru, beliau membidas kenyataan pihak yang memomokkan perpaduan Pas dan UMNO akan menjadi Taliban sedangkan di belakang mereka terdapat komunis yang tidak senang dengan kesatuan umat Islam.

Beliau seterusnya menjelaskan Islam mengajar tidak salah untuk Melayu sayangkan bangsa mereka, malah al-Quran banyak mengisahkan tentang nabi berdakwah kepada kaum kesayangan mereka.

“Memang tanggungjawab kita selamatkan bangsa dan keluarga kita dengan Islam. Bagaimanapun Islam adalah rahmat untuk semua manusia. Konsep islam mengajar kita menerima masyarakat majmuk,” katanya. – K! ONLINE