Pengarah urusan Mydin: Rakyat tak ada duit

Faktor tidak ada duit menyebabkan rakyat tidak mampu menghadapi peningkatan kos barangan walaupun ekonomi Malaysia dilaporkan meningkat.

Faktor itulah, pada pandangan Pengarah Urusan rangkaian Pasaraya Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, yang menyebabkan penjualan merosot di seluruh pasar raya di negara ini.

“Saya fikir rakyat tak ada duit,” kata beliau dalam temu ramah bersama stesen radio BFM.

Walaupun tidak menafikan berlakunya perkembangan ekonomi berdasarkan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK), tetapi, kata Ameer, dalam negara normal, pertumbuhan itu bermaksud adanya penggunaan domestik.

“Dan paling asas adalah makanan. Tetapi pasar raya yang mengawal 50% pasaran, (perkembangannya pula) negatif,” katanya.

Data dari rangkaian Mydin menunjukkan harga-harga meningkat dari 14% kepada 15% dalam tempoh lima tahun lepas.

Manurut Ameer, harga untuk 150 barangan ini naik antara 2.7% kepada 3.7%. Tahun lalu, harga meningkat 2.3%.

“Untuk item individu (kenaikan harga) menakutkan. Sebagai contoh, kubis dari Cameron Highlands naik 29% dalam tempoh lima tahun lalu.

“Ikan kembung hitam 19%, sos cili jenama Maggi 38.8%, sardin jenama Ayam pula 30.6%.”

Ameer berkata yang harga untuk barangan ini juga turut dinaikkan oleh pesaing mereka.

“Kalau harga (barangan) saya naik, saya pasti pesaing saya juga akan naikkan juga. Kami peneraju pasaran. Kami naik (harga) bila kos kami naik,” katanya.

Harga barangan yang meningkat ini memberi kesan pada semua pasar raya yang mana Ameer berkata, merangkumi 50% daripada semua barangan runcit di Malaysia.

Pada suku pertama 2017, keseluruhan jualan runcit menurun sebanyak 1.2% tetapi jualan pasar raya menurun sebanyak 4.8%.

Kemerosotan dalam sektor runcit ini terjadi ketika keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat sebanyak 5.6%.

Pada suku ketiga tahun sama pula, sektor runcit menyusut sebanyak 1.1% manakala pertumbuhan pasaran pasar raya menurun merosot 5.5%.

Bagaimanapun, Ameer berkata yang kadar pertukaran ringgit yang semakin pulih berbanding dolar Amerika diharap akan menurunkan harga barangan, itu pun jika trend ini berterusan.

“Satu-satunya sinar harapan adalah ringgit kukuh berbanding dolar Amerika. Harga mungkin akan turun untuk jangka tempoh yang panjang,” ujarnya –  The Malaysian Insight