KOTA BHARU 3 Jan. – Penduduk di pesisir Pantai Pulau Kundur cemas apabila ombak besar yang berpunca daripada tempias ribut tropika Pabuk mula membadai kawasan kediaman mereka bermula lewat malam tadi.

Malah, ombak besar tersebut turut menghentam dinding rumah seorang penduduk, Isa Hassan, 63, yang terletak kira-kira empat meter dari pantai kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Namun, tidak ada kerosakan besar atau kecedaraan yang ber­laku tetapi Isa bersama sembi­lan ahli keluarganya berasa ce­mas dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut Isa, ribut tropika tersebut berbeza daripada angin musim tengkujuh kerana sukar untuk diramal dan lebih kuat.

“Kami sudah biasa dengan angin kuat dan ombak musim tengkujuh yang kadangkala mem­bawa air serta pasir masuk ke dalam rumah.

“Ombak dan angin sangat kuat malam tadi. Kami semua berjaga kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz Mamat, 63, berkata, dia hanya dapat tidur selama dua jam sahaja disebabkan angin yang terlalu kuat kerana kediamannya terletak kira-kira 10 meter dari pantai.

Dia yang tinggal bersama isteri, Mariam Hassan, 60, serta enam anaknya berkata, mereka sekeluarga sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

“Sebelum ini penduduk di kampung ini bergotong-royong membina benteng guni yang berisi pasir di pesisir pantai seba­gai usaha berjaga-jaga.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah membina tembok batu untuk menghalang hakisan pantai dan ombak kuat di sini, namun usaha itu tidak dapat menyelesaikan masalah hakisan pantai dan kami masih sentiasa berada dalam keada­an berjaga-jaga bila menjelang musim tengkujuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hilmi Deraman, 43, berkata, dia sudah empat minggu tidak ke laut untuk mencari rezeki disebabkan laut bergelora.

“Ombak hari ini besar sangat, saya tengok ombak ini makan masa yang lama untuk reda. Saya bimbang esok akan bertumbah buruk dan hari ini, saya buat persiapan kerana ramalan cuaca buruk sehingga esok,” katanya. – Utusan Online