Seorang lagi rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel semasa tunjuk perasaan di sepanjang pagar sempadan Gaza.

Dalam kejadian terbaharu semalam, Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti mangsa yang terbunuh sebagai Karim Mohammad Kullab berusia 25 tahun.

Kementerian itu menambah, seramai 312 cedera dalam tunjuk perasaan tersebut, di mana 54 daripadanya terkena peluru hidup dilepaskan tentera Zionis.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa lebih 10,000 penunjuk perasaan mencetuskan rusuhan di sepanjang pagar sempadan sambil bertindak membakar tayar dan membaling batu serta bom petrol ke arah tenteranya.

Ia menambah, beberapa penunjuk perasaan cuba merempuh dan masuk ke wilayahnya.

Seorang anggota IDF cedera ketika menyuraikan tunjuk perasaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Penduduk Palestin menganjurkan tunjuk perasaan ‘Perarakan kepulangan besar-besaran’ di sempadan Gaza-Israel bagi menuntut hak untuk kembali ke kampung halaman sejak diusir Israel semasa Peristiwa Nakba pada 1948.

Tunjuk perasaan sejak 30 Mac lalu itu menyaksikan lebih 180 rakyat Palestin terbunuh akibat ditembak tentera Israel, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan. – Agensi