Pemimpin Palestin sedang mempertimbangkan tindakan balas terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) menutup pejabat diplomatik Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington, DC, Selasa lalu.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif PLO, Hanan Ashrawi berkata, apa yang dilakukan negara pembuli itu sangat kejam kerana mereka dengan sengaja menafikan hak rakyat Palestin, menyerahkan tanah mereka dan ibu kota Baitulmaqdis yang sah.

“Adalah ironi apabila AS menghukum PLO, wakil rakyat Palestin dan badan politik tertinggi yang mempunyai komitmen untuk mencapai penyelesaian politik dan undang-undang mengenai persoalan Palestin dan yang telah terlibat dalam rundingan dengan pentadbiran AS untuk beberapa dekad.

“Kami fikir banyak perkara yang boleh dilakukan. Tindakan terhadap AS antara langkah yang mungkin kita fikirkan,” katanya.

Pentadbiran Trump pada Isnin mengumumkan bahawa ia akan menutup pejabat PLO ekoran keengganan Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyertai rundingan dengan Israel.

Langkah itu adalah yang terbaru dalam satu siri tindakan AS terhadap kepimpinan Palestin, yang berlaku di tengah-tengah hubungan yang merosot antara kedua-dua pihak, selepas pengiktirafan kontroversi Presiden AS, Donald Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel tahun lepas.

Sementara itu, Wakil Palestin di Amerika Syarikat, Dr Husam Zomlot, yang kini berada di Ramallah, menegaskan, hak rakyat Palestin bukan untuk dijual atau dirunding.

“Kami tidak akan menerima sebarang kekerasan dan ancaman oleh pentadbiran Amerika,” katanya

– IW/Agensi