Pembangkang dan penyokong Benjamin Netanyahu, berhimpun di jalan raya petang semalam selepas Peguam Negara menyatakan hasrat memfailkan dakwaan rasuah terhadapnya.

Di tengah Tel Aviv, penyokong Netanyahu mengibarkan bendera Israel dan membawa sepanduk bertulis ‘Netanyahu, rakyat bersama anda’ dan ‘Netanyahu, Perdana Menteri saya’.

Berasingan daripada mereka dengan kepungan polis, pembangkang mengibarkan sepanduk berbunyi ‘Crime Minister’ dan ‘Masa untuk Netanyahu letak jawatan’, kata jurugambar AFP.

Menurut undang-undang Israel, PM tidak perlu meletak jawatan kecuali didakwa, disabitkan dan gagal dalam semua rayuan, proses yang memakan masa panjang.

Netanyahu bertanding untuk penggal kelima pada pilihan raya April ini.

Selepas pengumuman Peguam Negara Khamis lalu, Netanyahu berkata beliau mahu menjadi PM untuk jangka panjang lagi di sebalik berhadapan dakwaan itu.

Di Ramle, berhampiran Tel Aviv, aktivis Parti Buruh memancarkan mesej besar di tembok penjara Maasiyahu bertulis ‘Netanyahu, Israel memalukan’, kata kenyataan parti pembangkang itu.

Penjara itu menempatkan bekas PM, Ehud Olmert, yang menjalani hukuman kerana rasuah dan bekas presiden, Moshe Katsav, kerana merogol dan kesalahan seksual lain. – AFP